Pages

Friday, 2 January 2015

Bay’ al-Wafa Dalam Skim Jual Beli/Pelaburan Emas





Jumhur ulama dari semua mazhab mengharamkan bay’ al-wafa kecuali mutaakhir Hanafiyyah seperti yang disebut di dalam Majallah Ahkam al-adliyyah.

Kebanyakan ulama mengharamkan bay’ al-wafa kerana dua sebab. Pertama, jual dengan syarat beli balik adalah sama dengan bagi pinjaman ber “security” ataupun ada “al rahn”. Apabila pemegang gadai memperolehi manfaat daripada barang gadaian, ia adalah RIBA. Kedua, isu taqyid al-milkiyyah, iaitu jual beli bersyarat/ bertempoh. Ia bercanggah dengan muqatada al-bay’ tujuan dan maksud jual beli (substance of a sale contract), seolah-olah perpindahan pemilikan tidak berlaku secara mutlak dan terhad. Pembeli tidak ada kebebasan seperti menjualnya kepada pihak lain apabila perlu, memberikan hadiah kepada orang lain, atau menyimpannya selama lamanya. Seolah olah tidak berlaku perpindahan pemilikan. Ini bercanggah dengan maksud jual beli.





Ini adalah pandangan ulama berkenaan bay’ al-wafa secara umum. Adapun sekiranya ia melibat skim jual beli emas, isu Shariah dan hukum haramnya adalah sama, tetapi ia lebih bermasalah, apabila emas dijadikan aset pendasar kepada bay’ al-wafa kerana di sana ada peraturan khas bagi jual beli emas.

Oleh kerana konsep bay’ al-wafa hampir dengan al-rahn, iaitu perolehan pinjaman tunai dan gadaian, kemunkinan ada pihak yang akan menggunakannya untuk menggantikan al rahn. Ia akan menjadi lebih teruk apabila bay’ al wafa dimanipulasikan menggantikan al-rahn, kerana hukum asal al-rahn  adalah harus. Hukum asal bay’ al wafa pula adalah haram di sisi jumhur ulama. Al-rahnu hanyalah pinjaman bergadai, tetapi bay’ al-wafa adalah jualan yang bersayarat beli balik yang juga mengandungi unsur pinjaman dan pengambilan manfaat oleh pemegang gadaian.



Contoh, penganjur membeli emas 100g daripada pelanggan secara diskaun katakan 70%. Emas berada di tangan penganjur skim. Emas dibeli pada harga yang murah, dan digunakan lagi untuk dijual dan dibeli balik secara bay al-wafa  dengan pihak lain pula. Dijual pula kepada pelangan lain, dan dibuat pula bay’ al wafa membeli semula emas. Ia ada potensi digunakan untuk menggantikan al-rahn. Kalau ini berlaku, ia bukan sekadar  isu haram bay’ al-wafa, ia juga adalah masalah ‘inah yang dilarang oleh Rasulullah SAW.  Berhimpun padanya dua kali haram. Haram bay’ al-wafa dan haram bay’ al-inah. Yang ketiga apabila ada tarikan hibah/ hadiah kepada pelanggan yang menjual emas secara diskaun, ia adalah riba. Dalam kes ini tiga kesalahan, kesalahan bay’ al-wafa, bay’ al-inah dan kesalahan memberi hibah menggantikan riba.

Wallahua’lam

sumber : http://drazman.net


No comments:

Post a Comment