Pages

Thursday, 1 January 2015

Konsep Tarik Emas Pamer Keunikan Pembentukan Barang Kemas



Oleh Maizaitul Sabirah Magis@Aziz
KOTA BAHARU (Bernama) — Konsep tarik emas bagi menghasilkan barang kemas merupakan keunikan yang terdapat di beberapa kedai emas sekitar Kota Baharu, Kelantan.
Pemilik Kedai Emas Abdullah Roni atau nama sebenarnya Abdullah Muhammad yang menjalankan perniagaan tersebut hampir dua tahun berkata, ia adalah kaedah menarik emas yang merupakan keunikan terdapat di beberapa kedai emas sekitar Kota Baharu, Kelantan melalui serpihan debu emas yang terkeluar semasa proses penghasilannya.
“Di sini, kita akan leburkan semula serpihan itu untuk dijadikan barang kemas seperti sebentuk cincin, seutas rantai, selain pelbagai jenis koleksi barang kemas.
“Apabila selesai dibentuk, barang kemas itu akan dijual mengikut jenis, berat, upah, dan harga pasaran semasa,” katanya kepada Bernama.
Menurut Abdullah, terdapat lebih 150 kedai emas di bandar itu yang melakukan kaedah tarik emas.
Namun, apa yang membezakan kedai emasnya berbanding kedai emas lain adalah dengan menunjukkan kerja-kerja pertukangan barang kemas secara terbuka kepada pelanggan.
Tambahan pula, ia telah menarik minat pengunjung dan pelancong tempatan untuk melihat sendiri bagaimana sesuatu barang kemas itu dihasilkan.



KAEDAH MENGUJI KETULENAN EMAS
Mengulas mengenai harga emas di Kelantan, Abdullah berkata ia tertumpu kepada harga upah, berat dan jenis emas selain dijual dengan harga yang lebih murah.
“Rata-rata kedai emas di sini tidak terlalu mengikut harga pasaran. Ada yang meletakkan harga mengikut kadar upah dan berat, berbeza dengan kedai emas di tempat lain.
Bagaimanapun, katanya, hasil tukangan emas, perak dan tembaga yang dijual di situ tetap mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan.
Bagi Kamaliah Abd Wahab, 33, seorang daripada pelanggan Abdullah, barang kemas di negeri Cik Siti Wan Kembang atau kini dikenali dengan “Kelantan Unique” itu berbeza daripada segi kilauan emas dan kualitinya.
“Mungkin itu sebabnya setiap kali musim perayaan saya dan keluarga akan pulang ke kampung dan singgah ke sini untuk membeli dan menempah barang kemas sedangkan terdapat banyak pilihan kedai emas yang lain.


PERBEZAAN EMAS DI KELANTAN BERBANDING TEMPAT LAIN
Jika berkunjung ke mana-mana kedai emas di Kelantan, kilauan barang kemasnya berbeza berbanding barang kemas yang terdapat di negeri lain.
Abdullah menambah, kilauan itu bergantung kepada cara pembuatan dan jenis emas yang digunakan termasuk ketulenan emas yang perlu diuji terlebih dahulu.
Menurut Abdullah, terdapat beberapa kaedah untuk menguji emas dan salah satu daripadanya dengan menggunakan asid nitrik dan batu hitam.
“Pada mulanya, emas akan ditoreh pada batu hitam hingga meninggalkan kesan pada batu tersebut. Kemudian, asid nitrik akan dituang pada emas yang terlekat di batu hitam dan jika kesan emas itu hilang maka ia bukanlah emas yang tulen.
“Selain itu, emas juga boleh diuji dengan membakar barangan kemas itu sehingga menjadi merah namun kebiasaannya emas tulen tidak akan terjejas manakala emas tiruan pula akan meninggalkan kesan hitam bergantung kepada jenisnya.
Tambahnya, emas yang tinggi mutunya senang dibengkok dan dibentuk serta lebih lembut berbanding emas tiruan.
“Tidak semestinya barang kemas itu tulen jika terdapat label 916 dan sebagainya. Sebagai pembeli, kita harus bijak menilai,” katanya.

TEMPAHAN BARANG KEMAS
Tempahan barang kemas yang diterima oleh kedai emas Abdullah juga lebih tertumpu kepada tempahan terus daripada pelanggan selain mengeluarkan barang kemas untuk dijual.
“Semuanya bergantung pada permintaan pelanggan, kami akan hasilkan jika ada tempahan. Namun begitu, tempahan barang kemas seperti perak dan tembaga kurang mendapat permintaan.
“Kami juga mempunyai kira-kira sepuluh orang pekerja pertukangan bagi membuat barang kemas di samping menerima khidmat membaiki barang kemas,” katanya.
Tambahan pula, pihaknya lebih mementingkan kualiti koleksi barang kemas yang dihasilkan berbanding kuantiti.
“Kebiasaannya, pelanggan yang membuat tempahan akan memberikan contoh rekabentuk dan jenis emas yang diingini mengikut harga yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Pembayaran DEPOSIT bagi tempahan akan diambil dalam 30 peratus daripada harga barang kemas itu dan boleh disiapkan dalam masa satu minggu bergantung kepada jenis barang kemas.
Apa yang lebih menarik, pelanggan Abdullah boleh memberi ilham idea rekabentuk barang kemas yang diingini sebelum dihasilkan oleh pekerja tukangan emas.
–BERNAMA




No comments:

Post a Comment